Tajuk Utama
- Bilangan kaum wanita yang tiada tempat berteduh setelah melarikan diri dari keganasan di rumah terus meningkat.
- Perkhidmatan ketunawismaan seringkali mampu membantu mendapatkan tempat penginapan yang lebih tetap.
- Hubungi talian perkhidmatan bantuan negeri atau persekutuan sebaik mungkin apabila risiko terhadap diri anda reda.
- Hubungi talian 1800RESPECT untuk mendapatkan bantuan tempat penginapan sementara jika anda mangsa keganasan domestik.
Menurut maklumat Banci Kebangsaan 2021, setiap malam di Australia, lebih 122,000 warga negara ini tiada tempat untuk berteduh.
Namun ketiadaan tempat berteduh dengan istilah rasminya ketunawismaan atau dalam Bahasa Inggerisnya, homelessness, tidak sahaja bererti ketiadaan tempat tinggal.
Ketunawismaan juga merangkumi golongan yang terpaksa tinggal di rumah yang terlalu sesak, menumpang tidur di atas sofa kekawan, tidur dalam kereta atau berteduh buat seketika di pusat penginapan krisis.
Badan bukan kerajaan lazimnya menyediakan tempat penginapan krisis dengan dana yang disediakan oleh kerajaan negeri dan pusat.
Siapakah yang layak menerima tempat penginapan krisis?
Jed Donoghue ialah Pengurus Besar Kebangsaan Ketunawismaan Salvation Army, antara pertubuhan yang paling banyak menyediakan tempat penginapan krisis di negara ini.
Menurut Donoghue, penginapan krisis adalah tempat berteduh sementara yang selamat dan terlindung ditawarkan kepada mereka yang menghadapi krisis kecemasan
"Kadangkala, seseorang itu boleh kehilangan tempat tinggal setelah kehilangan pekerjaan, atau tiada rumah yang mampu disewa, juga akibat kemiskinan atau ekoran masalah kesihatan fizikal dan mental", jelas Donoghue.
Bilangan kaum wanita yang menghadapi risiko ketunawismaan akibat keganasan domestik kian meningkat. Source: Getty / ArtistGNDphotography
Kaum wanita yang melarikan diri dari keganasan domestik
Menurut Jabatan Statistik Australia, golongan wanita yang menghadapi risiko ketunawismaan kini meningkat 10.1 peratus sejak tahun 2016.
Annabelle Daniel ialah Ketua Pegawai Eksekutif di pusat sehenti wanita, Women’s Community Shelters atau WCS.
Kata Daniel, "Kaum wanita adalah golongan tertinggi yang memerlukan pinginapan krisis akibat keganasan domestik dan kekeluargaan."
"WCS membantu mencari tempat penginapan sementara serta menyediakan bantuan lain untuk menolong wanita membina kembali kehidupan mereka", tambah beliau.
WCS turut membantu golongan wanita mencari tempat penginapan lebih tetap yang bebas dari keganasan.
WCS mempunyai rangkaian meluas merangkumi talian bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri serta perkhidmatan yang dihulurkan oleh komuniti tempatan di sekitar New South Wales.
Bagi mereka yang menghadapi krisis tempat tinggal sementara, Annabelle Daniel menyarankan supaya mengguna telefon bimbit atau komputer untuk menghubungi WCS berdekatan atau melayari laman web womenscommunityshelters.org.au.
Mangsa keganasan domestik tidak seharusnya merasai diri mereka terpinggir kerana wujud pelbagai pertubuhan dan komuniti yang sedia membantu.Annabelle Daniel, Ketua Pegawai Eksekutif, Women's Community Shelters
Lelaki tuna wisma di atas kerusi roda di tepi jalan Credit: LaraBelova/Getty Images
Bagaimana dengan golongan lain yang perlu melarikan diri dari keganasan domestik dan kekeluargaan?
Krisis keganasan domestik dan kekeluargaan bukan sahaja membabitkan kaum wanita.
Pertubuhan Safe Steps menyediakan talian krisis 24-jam bagi membantu golongan yang menghadapi masalah ketunawismaan akibat keganasan, tak kira umur, jantina, seksualiti, keupayaan atau status visa mereka yang terbabit.
Nicole Abdilla ialah Pengurus Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Penginapan Safe Steps dan menurut beliau, pertubuhan ini menilai ancaman yang dihadapi oleh sesetiap individu yang memohon pertolongan untuk memberi bantuan yang bersesuaian.
Sekiranya seseorang itu dianggap berisiko tinggi, individu terbabit akan dirujuk kepada perkhidmatan tempat penginapan krisis. Source: Getty / David Freund
Apakah anda kini selamat?
Jika anda memerlukan bantuan atau ketahui seseorang yang perlukan pertolongan, sila dial 1800 015 188 atau melalui email di safesteps.org.au atau melalui laman Web Chat mereka.
Tegas Nicole Abdilla, "Setiap pemanggil akan dijemput menjawab beberapa soalan bagi menilai keperluan dan situasi mereka."
Jika anda tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, dapatkan bantuan dari seorang sahabat atau ahli komuniti tempatan, mungkin doktor anda atau pun rakan sekursus kelas Bahasa Inggeris yang sedang anda pelajari untuk membantu anda memohon perkhidmatan penterjemah.
Perkhidmatan bantuan menampung permintaan
Kini apa yang membimbangkan permintaan bantuan melebihi perkhidmatan yang sedia ada.
Umpamanya, pertubuhan Salvation Army membantu hampir 40,000 individu yang menghadapi ketunawismaan selain menyediakan 850,000 buah katil untuk golongan ini bermalam setiap tahun.
Tambah Jed Donoghue, "Beberapa buah negeri dan wilayah di Australia menyediakan pusat sehenti berdekatan bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan."
Malangnya, permintaan melebihi perkhidmatan yang sedia ada. Source: Getty / imamember
Beberapa Perkhidmatan Bantuan Tempat Penginapan Krisis:
Hubungi 1800RESPECT untuk bantuan perumahan sekiranya anda melarikan diri dari keganasan domestik dan kekeluargaan
Bayaran krisis bagi mereka yang mengalami ancaman terlalu ekstrim.
Jika anda perlu keluar dari rumah dengan serta merta, anda mungkin layak menerima bayaran krisis dari pihak kerajaan.
Menurut jurucakap Services Australia, Justin Bott, pembayaran ini khas untuk mereka yang menghadapi masalah kewangan.
Jelas Bott, “Ini ialah bayaran sekali sahaja yang tidak dicukai bagi mereka yang sudah pun menerima pembayaran termasuk benefit khas atau pembayaran JobSeeker yang mengalami risiko keterlaluan."
Jika anda memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, hubungi Services Australia dengan serta-merta untuk mendapatkan bantuan kewangan ini dalam tempoh seminggu.Justin Bott, Services Australia
Services Australia mempunyai talian pelbagai bahasa di 131 202 dan laman webnya diterjemah ke dalam beberapa bahasa asing utama.
Dan pembayaran boleh dibuat kepada penerima yang layak walaupun pemohon tidak mempunyai alamat tetap.