Apakah Hakikat 26 Januari Bagi Kaum Warga Asli Australia?

PERHIMPUNAN HARI PENCEROBOHAN DI BRISBANE

Perhimpunan Hari Pencerobohan 2024 di Brisbane. Source: AAP / JONO SEARLE

Di Australia, 26 Januari ialah Hari Kebangsaan, namun sejak kebelakangan ini, kesesuaian tarikh ini sering dipertikaikan. Ramai golongan migran di Australia ingin menyambut Hari Kebangsaan negara baru mereka tetapi apa yang penting ialah memahami sepenuhnya sejarah di sebalik tarikh 26 Januari ini.


Tajuk Utama
  • Hari Australia menandakan hari bendera British dikibarkan di Sydney Cove pada 1788 melambangkan permulaan penjajahan negara ini.
  • Januari 26 memperingati permulaan penjajahan British, sekaligus menjadi permulaan sejarah pahit kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres.
  • Tinjauan terkini mendapati majoriti rakyat Australia ingin tarikh 26 Januari dikekalkan.
26 Januari ialah sambutan Hari Australia, secara rasminya menandakan Hari Kebangsaan negara ini.

Namun bagi kaum orang asli dan kini juga di kalangan masyarakat umum, tarikh ini tidak sepatutnya disambut.

Boe Spearim ialah seorang aktivis dan podcaster dari suku kaum Gamilaraay, Kooma and Murrawari.

Bagi beliau, "Perasaan kemurungan mula menyelubungi diri dan suasana menjelang 26 Januari setiap tahun."

Kenapa Hari Australia disambut pada 26 Januari?

26 Januari melambangkan tarikh penjajahan Australia.

Ianya menandakan hari bendera Union Jack dikibarkan di Sydney Cove pada tahun 1788.

Hari Australia disambut pada 26 Januari sejak 1935, namun hanya pada tahun 1994 hari terbabit diisytiharkan sebagai hari cuti umum.

Sebilangan warga Australia menyambut hari ini dengan mengadakan majlis barbeku bersama keluarga dan sahabat andai, ada pula yang pergi ke pantai atau menyaksikan persembahan bunga api yang berlansung di seluruh Australia.

Hari ini juga turut dijadikan hari di mana warga baru ke negara ini mengambil bahagian dalam upacara angkat sumpah kewarganegaraan.

Namun, bagi kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres, sejak tahun 1938, tarikh 26 Januari dilihat sebagai hari untuk berkabung.

Kini, bilangan masyarakat umum yang turut membantah sambutan Hari Australia pada 26 Januari kian meningkat.

Mereka mahu sambutan Hari Australia diubah ke tarikh yang lain.

PERHIMPUNAN HARI PENCEROBOHAN DI BRISBANE
Perhimpunan Hari Pencerobohan 2024 di Brisbane. Source: AAP / JONO SEARLE

Kenapa 26 Januari tarikh penuh keperitan di kalangan kaum orang asli Australia?

Dr Summer May Finlay ialah seorang wanita suku kaum Yorta Yorta yang juga seorang pensyarah di University of Wollongong.

Tegas beliau, "Tarikh 26 Januari ini tidak sesuai kerana ia menandakan permulaan diskriminasi terhadap kaum orang asli serta perampasan tanah yang dimiliki kaum Aboriginal dan orang Kepulauan Selat Torres sejak lebih 65,000 tahun lalu."

Penjajahan British telah memusnahkan kehidupan kaum orang asli Australia yang dipecat dari tanah nenek moyang mereka sendiri, dibunuh, dijangkiti penyakit yang dibawa masuk oleh penjajah asing serta pengambilan secara paksa kanak-kanak dari kaum keluarga mereka.

Akibat penjajahan ini, kaum orang asli mengalami diskriminasi sistemik, manakala tahap kesihatan mereka lebih rendah serta bilangan penahanan warganya terlalu tinggi berbanding masyarakat umum.

Justeru, Dr Finlay menggesa semua warga Australia untuk mendalami sejarah negara ini terlebih dahulu.

Menukar, memaklum atau memansuh tarikh ini?

Namun, setiap tahun, timbul perbalahan dari kedua belah pihak akan kesesuaian tarikh terbabit.

Kaum orang asli mahu tarikh sambutan ditukar, namun ada juga segolongan yang mahu kerajaan memaklumkan sejarah pencerobohan benua ini oleh penjajah British terlebih dahulu.

Manakala, ada pula pihak, termasuk Boe Spearim, yang mahu tarikh 26 januari ini dimansuhkan sama sekali.

Tambah Spearim, "Ianya berkaitan penghapusan pemahaman bahawa benua ini diterokai oleh penjajah British secara aman serta pemakluman terhadap kekejaman dan penindasan yang dilakukan ke atas kaum orang asli negara ini. Ianya bertujuan mengingatkan golongan yang bersifat perkauman bahawa penghapusan bangsa atau genosid tidak seharusnya lagi dibiakan berlaku."

Bagaimana untuk menghormati tanggal 26 Januari?

Sesetengah warga Australia menganggap tarikh ini sebagai Hari Pencerobohan, iaitu Invasion Day, atau Hari Perjuangan, yakni Survival Day.

Pada hari ini, kumpulan warga asli mengadakan perarakan, perhimpunan, majlis subuh menyambut hari terbabit serta pelbagai lagi sambutan di seluruh Australia.

Rana Hussain ialah seorang pengarah pertubuhan Reconciliation Australia, sebuah yayasan bukan untung bertujuan mempromosikan perdamaian di antara warga asal Australia dengan masyarakat umum.

Bagi Rana Hussain, "Perhimpunan alternatif sebegini memberi harapan serta menyatupadukan warga Australia berbilang kaum."

Dalam pada itu, kini terdapat beberapa majlis daerah tempatan menunjuk sokongan membatalkan sambutan Hari Australia pada 26 Januari.

Hari Australia ialah hari cuti umum dan sekiranya tarikh itu jatuh pada hujung minggu, hari Isnin seterusnya diisytiharkan sebagai hari cuti.

Namun, sesetengah majikan membenarkan kakitangan bekerja pada hari Isnin terbabit dan menukar hari cuti ke hari lain sebagai ganti.

Warganegara baru Australia.
Warganegara baru Australia, Broken Hill, NSW. Source: AAP / STUART WALMSLEY

Golongan migran perlu memahami bantahan kaum orang asli terhadap sambutan 26 Januari sebagai Hari Australia.

Boe Spearim ingin melihat sokongan terhadap kaum orang asli dari golongan migran kerana ramai di kalangan pendatang baru ke negara ini turut melalui pengalaman perit di negara asal mereka.

Manakala Rana Hussain menganggap isu 26 Januari ini suatu persoalan penting bukan sahaja bagi kaum orang asli, malahan ia juga perlu dipertimbangkan dengan teliti oleh masyarakat umum.

Sebagai seorang generasi kedua pendatang ke negara ini, Rana Hussain faham kenapa sebilangan besar golongan migran mahu menyambut identiti baru mereka.

Namun saranan beliau, "Renung kembali sejarah sebenar negara ini demi mencapai penyelesaian tarikh bersesuaian yang boleh disambut oleh semua golongan masyarakat, baik kaum asli mahupun golongan migran."

Sila langgani atau ikuti siri podcast Australia Explained untuk maklumat serta petua memulakan hidup baru di Australia.

Apakah anda mempunyai sebarang pertanyaan atau anda ingin mengutarakan topik menarik untuk siri ini?

Hantarkan email dengan soalan atau cadangan anda kepada

Share