Pemahaman Perubahan Musim Dan Iklim Serta Kaitannya Dengan Kehidupan Alam Sekitar Di Kalangan Warga Asli

Ribut kilat menerangi langit

Ribut kilat menghampiri wilayah Timur Australia. Credit: Jeremy Bishop/Unsplash

Pastinya kita semua arif dengan keempat-empat musim yang saling berganti, iaitu musim panas, musim daun luruh, musim sejuk dan musim bunga. Namun, tahukah anda bahawa warga pertama Australia mengenalpasti lebih dari empat musim dalam setiap tahun? Bergantung pada lokasi, sesetengah kaum orang asli mengenalpasti enam musim setiap tahun.


Key Points
  • Warga pertama negara ini mengekalkan ilmu pengetahuan yang dipelajari dari nenek moyang melalui tradisi penceritaan kisah dongeng dan warisan budaya mereka.
  • Kitaran musim yang digambarkan oleh kaum orang asli berbeza mengikut lokasi mereka di benua Australia.
  • Warga asli negara ini memahami kaitan di antara perubahan tabiat haiwan atau ketumbuhan semula jadi mempunyai kaitan dengan perubahan iklim dan musim.
Memahami perubahan musim dan cuaca adalah suatu aspek penting dalam budaya dan warisan kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres yang wujud sejak lebih berpuluh ribu tahun lalu.



Perubahan cuaca menentukan kitaran hidup haiwan dan tumbuhan, justeru memahami perhubungan ini amat penting demi ketahanan dan kewujudan manusia di bumi ini, lebih-lebih lagi di Australia dengan iklimnya yang kadang-kala ekstrim memerlukan keupayaan di kalangan penduduknya untuk mengubahsuai diri dengan keadaan cuaca.



Segala-galanya ada kaitan ialah tunggak utama prinsip dan falsafah warisan dan budaya Warga Pertama negara ini.


Sejak beribu tahun lalu, kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres telah menghayati kaitan mendalam di antara iklim, cuaca dan musim dengan kehidupan dan tumbuhan alam sekitar.

Umpamanya, nyanyian burung mungkin menandakan kemunculan hujan dan ketumbuhan bunga dan anak pokok mengalukan perubahan musim yang mendorong kaum orang asli berhijrah ke kawasan lain.

Aunty Joanne Selfe ialah seorang wanita Gadigal dari wilayah timur Australia yang mempelajari perubahan iklim dan cuaca ini sejak kecil lagi.

“Pemahaman mendalam perubahan sistem cuaca, musim dan alam sekitar amat penting demi ketahanan dan kewujudan manusia. Pemahaman inilah yang memberi keupayaan kepada warga asli negara ini untuk terus hidup dalam suasana yang sering mencabar," jelas Aunty Joanne.

Pohon Krismas Asli
Moodjar, pohon Krismas asli. Credit: TerriAnneAllen/Pixabay
Menurut Aunty Joanne, "Ilmu pengetahuan mendalam mengenai perubahan cuaca dan musim, termasuk memahami kedatangan musim tengkujuh dan musim kemarau, membantu kaum orang asli mempertahankan kehidupan dalam lanskap Australia yang serba ekstrim."

Tambah beliau, “Apabila kita memahami perubahan cuaca, kita lebih mampu mengawal situasi dan keselamatan diri. Umpamanya, Diarra-murrahmah-coing, yang bermaksud matahari terbenam penuh kemerahan yang menandakan cuaca baik keesokan harinya."

Sementara itu, di wilayah barat Australia pula, seorang lagi warga asli menerangkan kepentingan pemahaman peredaran musim dengan kitaran kehidupan alam semula jadi.

Jordan Ah Chee dari suku kaum Bindjareb, Wardandi, Palyku, Nyikina dan Yawuru di daerah Kimberley ialah seorang akademik di Jabatan Pengajian Kaum Orang Asli di Murdoch Universiti.

Tegas beliau, “Wujud persepsi di kalangan ramai bahawa kaum orang asli hidup seperti puak nomad yang berhijrah dari satu tempat ke suatu tempat yang lain. Namun, ini mencadangkan bahawa masyarakat asli negara ini tiada tempat tinggal yang tetap."
Sememangnya suku kaum kami berpindah mengikut musim, namun pemindahan kami dilakukan dengan penuh hormat terhadap kesinambungan alam sekitar.
Jordan Ah Chee
“Kamun Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres mempunyai perhubungan mendalam dengan bumi, air dan langit yang membolehkan mereka terus hidup di benua ini dengan selamat dan penuh keberkesanan. Apa yang penting ialah memahami bahawa segala-galanya ada kaitan," jelas Ah Chee.

Tambah beliau, “Ini berbeza dengan pemahaman budaya barat yang mengukur perubahan musim dengan tarikh kalendar."

Sebaliknya, warga asli negara ini mengukur perubahan musim dengan perubahan lanskap dan tingkah-laku haiwan liar serta perubahan di alam sekitar.

Menurut Ah Chee, "Warga asli mengukur pertukaran musim dan iklim melalui jenis makanan yang boleh diperolehi pada suatu ketika, iaitu sama ada ianya diperolehi di darat atau di sisiran pantai. Justeru, memahami peredaran musim dan cuaca amat penting bagi kaum orang asli."

Burning fuel load
Meladang menggunakan kaedah pembakaran terkawal Credit: Christian Bass/Unsplash
Pemahaman kitaran musim di kalangan Warga Pertama negara ini berbeza bergantung kepada lokasi kediaman suku kaum terbabit.

Umpamanya, di daerah Noongar di barat daya Western Australia, warga asli mengenalpasti enam musim setiap tahun bermula dengan musim Birak yang menandakan permulaan musim panas pada awal bulan Disember.

“Birak ada kaitan dengan keterikan matahari dan api. Ianya melambangkan musim muda, umpamanya penyalinan kulit ular dan reptilia lain, juga anak burung menginggalkan sangkar untuk menjadi burung dewasa bagi memulakan perjalanan kehidupan mereka, " jelas Ah Chee.

Kaum orang asli turut menggunakan kitaran bulan untuk meramal perubahan cuaca.
Kaum orang asli meramal hujan sekiranya wujud lingkaran cahaya atau halo mengelilingi bulan.
Aunty Joanne Selfe
Bukan setakat kitaran sahaja, malahan kedudukan bulan juga penuh bermakna.

"Umpamanya, jika bulan tidak berada tepat di tengah-tengah lingkaran cahaya atau halo, ianya menandakan kedatangan angin kencang," kata Aunty Joanne.
Halo around the moon
Lingkaran cahaya bulan atau halo Credit: Geoffrey Wyatt
Warga pertama negara ini mengekalkan ilmu pengetahuan yang dipelajari dari nenek moyang mereka melalui tradisi penceritaan kisah dongeng juga lukisan serta ukiran batu yang lebih dikenali sebagai petroglyphs.

Iklim Australia berubah mengikut lokasi dari musim tengkujuh iklim tropika di bahagian utara, keperitan suhu tinggi padang pasir di tengah-tengah benua Australia hinggalah ke kesejukan kawasan tinggi Alpine di selatan benua besar ini.

Kesemuanya mempunyai ritmanya tersendiri.

Jelas sekali, bagi kaum orang asli negara ini peredaran musim bukannya sesuatu yang ditetapkan oleh tarikh kalendar, sebaliknya diukur dengan tindak-balas dan perubahan kehidupan dan ketumbuhan alam sekitar terhadap kitaran cuaca dan iklim.

Perspektif ini memberi pemahaman yang lebih meluas berbanding dengan ukuran empat musim yang digunapakai oleh masyarakat umum.

Ianya mengingatkan kita semua akan kaitan mendalam di antara Warga Pertama Australia dengan alam sekitar yang didiami.

Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Subscribe or follow the Australia Explained podcast for more valuable information and tips about settling into your new life in Australia.   

Do you have any questions or topic ideas? Send us an email to 

Share