Khabar Angin: Bagaimana Untuk Mengenalpasti Maklumat Palsu

Hao blong faenem mo luk save kiaman nius o storian long Ostrelia

Hao blong faenem mo luk save kiaman nius o storian long Ostrelia Source: iStockphoto / nicoletaionescu/Getty Images

Dalam era teknologi maklumat yang semakin hari semakin canggih, kadang kala memisahkan maklumat yang sahih daripada yang palsu kini semakin rumit. Seringkali, maklumat palsu berisiko menggugat keharmonian dan keselamatan masyarakat umum kerana ia mampu mempengaruhi pemikiran individu yang tanpa soal-siasat mempercayai berita atau maklumat palsu terbabit.


Tajuk Utama
  • Kajian menunjukkan warga Australia antara yang paling mudah terpedaya lantas berkongsi maklumat palsu.
  • Teknologi yang semakin canggih memudahkan penyebar mengaburkan pandangan masyarakat umum supaya mudah mempercayai berita palsu.
  • Maklumat palsu seringkali dianggap oleh golongan yang sudah pun mempunyai kepercayaan karut sebagai bukti kesahihan pandangan mereka.
Penyebaran maklumat palsu kini menjadi antara cabaran paling hebat dalam dunia serba digital, namun persoalannya, apakah yang dimaksudkan sebagai maklumat serta berita palsu ini atau dalam istilah Bahasa Inggeris, "misinformation".

Menurut Sushi Das, Pengarah Bersekutu RMIT FactLab, sebuah unit di Universiti RMIT yang ditubuhkan khusus untuk mengenalpasti sama ada sesuatu maklumat itu benar atau palsu, "misinformation" ialah maklumat palsu yang dikongsi di kalangan masyarakat umum tanpa menyedari ketidaksahihan maklumat terbabit.

Manakala "disinformation" ialah maklumat palsu yang sengaja disebar untuk memperdayai masyarakat umum bertujuan sebagai senda-gurau, mengutarakan agenda politik atau untuk meraih keuntungan melalui bilangan klik di laman media sosial penyebar terbabit.

Pengesah fakta seperti Sushi Das menilai isi kandungan media sosial yang menjadi viral untuk mengenalpasti sama ada ianya mengandungi maklumat palsu.

Ini membabitkan penyelidikan mendalam bagi mengesahkan kesahihan dan ketepatan maklumat yang disebarkan.

Menurut Das, tajuk berita utama di Australia dan di luar negara seringkali mencetus maklumat palsu dalam media sosial.

Tambah Das, "Contohnya, peperangan antara negara Rusia dan Ukraine yang turut mencetuskan maklumat palsu sama ada disebarkan dengan sengaja atau tidak. Satu lagi contoh ialah konflik di Timur Tengah antara negara Palestin dan Israel. Kajian juga mendapati pelbagai penipuan membabitkan sektor kewangan dan kesihatan."
Kiri ke kanan: Dr Timothy Graham, RMIT FactLab Sushi Das, Dr Darren Coppin.
Kiri ke kanan: Dr Timothy Graham, RMIT FactLab Sushi Das, Dr Darren Coppin.

Kesan Media Sosial 

Platform media sosial kini digunakan sebagai arena pengiklanan serta ruang untuk bertukar idea dan pandangan.

Namun, pengamal media sosial kini menggunakan algoritma untuk menyebar maklumat palsu di laman web.

Dr Timothy Graham ialah Professor Madya Media Digital di .

Menurut beliau, "Platform media sosial semata-mata wujud untuk menjana iklan dan pengiklan menggunakan algoritma untuk mengubahsuai bahan isi kandungan untuk menarik pengguna demi mempertingkatkan keuntungan."

Tambah beliau, penyebaran maklumat palsu atau "misinformation" berpunca akibat beberapa faktor.

Ia seringkali tercetus akibat kesilapan yang tidak terduga, laporan berat sebelah, laporan menggempar untuk menjana sensasi, muslihat politik atau ideologi dan manipulasi ekonomi.

Manakala, teori konspirasi pula membabitkan perancangan atau plot rahsia yang berbeza dari penyebaran maklumat palsu yang seringkali merangkumi maklumat secara amnya tanpa mengandungi elemen teori konspirasi.

Umpamanya, penyelidikan pasukan RMIT FactLab mengenalpasti kewujudan teori konspirasi yang kononnya mendakwa kod QR yang mengganti tag baju () yang dilekatkan kepada baju baru di butik atau gudang fesyen, sebenarnya ialah usaha pihak berkuasa mengesan dan mengawal pergerakan pembeli baju tersebut.

Teori konspirasi mendakwa langkah kawalan ini dipersetujui oleh Forum Ekonomi Sedunia atau , sektor perbankan dan pihak kerajaan, walhal, tujuan kod QR ialah untuk menjimat penggunaan kertas demi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Pembeli mengesan kod QR di label pakaian baru.
Pembeli mengesan kod QR di label pakaian baru. Source: iStockphoto / javitrapero/Getty Images/iStockphoto

Kesan Maklumat Palsu

Dalam pada itu, Dr Darren Coppin, seorang pakar tingkah laku dari Sydney berpendapat penyebaran maklumat palsu bermula sejak manusia mula mengguna bahasa untuk berkomunikasi sesama sendiri.

Pada zaman silam, maklumat disebar melalui kaum keluarga dan masyarakat sekeliling mengikut kepercayaan dan budaya komuniti terbabit.

Namun, kata beliau, kini masyarakat umum menerima maklumat dari pelbagai sumber dari seluruh dunia.

Menurut kajian , warga Australia adalah antara yang paling mudah terpedaya lantas mudah berkongsi maklumat palsu.

Tambah Dr Darren Coppin, "Penyebaran maklumat palsu mampu memberi kesan negatif terhadap masyarakat, politik dan pihak individu."

Dr Coppin turut mengenalpasti empat faktor kenapa manusia sering menyebar maklumat palsu.
Maklumat palsu dan khabar angin mampu menimbulkan keresahan di kalangan khalayak ramai. Akibatnya, golongan ini lantas mencari jawapan untuk menangani keresahan mereka. Jika jawapan tidak ketara, penyebar maklumat palsu memenuhi kehendak ini.
Pakar Tingkah Laku, Dr Darren Coppin
Dr Coppin turut mengutarakan teori bahawa manusia pada dasarnya cenderung terhadap pemikiran pesimistik dan negatif akibat proses pemilihan semulajadi atau "natural selection".

Justeru, kata beliau, pihak individu yang lebih agresif mampu mengatasi cabaran dan rintangan yang dihadapi.

Sememangnya tabiat manusia yang sentiasa memerlukan bukti bahawa segala pandangan dan kepercayaan mereka itu benar dan betul.

Menurut Dr Coppin, tabiat inilah yang mendorong setiap individu untuk mudah terpedaya dengan maklumat palsu yang pada dasarnya mungkin menyokong kepercayaan mereka.

Tambah beliau, "Apatah lagi sekiranya maklumat palsu ini tersiar melalui teknologi canggih yang seolah-olah menjamin kebenaran maklumat terbabit."
Seorang wanita membaca berita yang tersiar melalui media sosial.
Maklumat palsu tercetus dari pelbagai punca, termasuk kesilapan yang tidak terduga, laporan berat sebelah, berita yang menggemparkan demi menjana sensasi, agenda politik dan ideologi serta manipulasi ekonomi. Source: iStockphoto / nicoletaionescu/Getty Images

Mengenalpasti Dan Menangani Berita Palsu

Memandangkan masalah penyebaran maklumat palsu kini berleluasa, keupayaan setiap individu untuk mengenalpasti apakah yang benar dan apa pula yang palsu amat penting.

Sushi Das dari RMIT FactLab memberi petua supaya pembaca memilih beberapa perkataan utama, kemudian membuka tab baru untuk mencari sama ada perkataan yang terpilih itu mempunyai kaitan dengan maklumat lain. 

Das turut menyarankan, "Jika anda melihat sebuah gambar dan meragui sama ada gambar tersebut benar wujud atau tidak, klik sebelah kanan di Google Search untuk mencari sama ada gambar terbabit wujud di ruang lain."

Manakala, Dr Coppin pula mencadangkan supaya setiap individu tidak menerima dengan sewenang-wenangnya sebarang maklumat tanpa usul siasat terlebih dahulu.

Mencari dan menerima maklumat melalui telefon bimbit kini menjadi perkara biasa.
Mencari dan menerima maklumat melalui telefon bimbit kini menjadi perkara biasa, lebih-lebih lagi dengan perkembangan AI. Credit: We Are/Getty Images

Tren Masa Depan

Dalam dunia serba canggih yang melihat maklumat palsu dianggap suatu kebenaran, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mengesahkan maklumat yang diterima.

Apa yang penting, setiap insan perlu menapis, memikir dan menafsir terlebih dahulu segala maklumat yang diterima melalui media sosial dan dari sumber-sumber lain di laman web.

Pilih perbualan dan dialog yang sivil dan cuba elak dari melempar fitnah dan penghinaan, lebih-lebih lagi melalui platform media sosial.

Elak sedaya upaya dari menjadi agen penyebar khabar angin dan maklumat palsu.


Share