Tajuk Utama
- Warga kaum asli Australia tidak terdiri daripada satu kumpulan seragam atau homogenous sahaja.
- Pada hakikatnya, wujud lebih 500 kaum orang asli, setiap satu dengan budaya, bahasa, gara hidup dan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan tersendiri.
- Memahami kepelbagaian dan perbezaan di kalangan warga asli amat penting kerana ia membantu masyarakat umum mendekati dan mengenali masyarakat Aboriginal di negara ini.
Kepelbagaian kaum warga asli Australia ialah suatu aspek yang mungkin tidak disedari oleh masyarakat umum di negara ini yang menganggap semua warga Aboriginal dan orang Kepulauan Selat Torres terdiri daripada sekumpulan orang yang seragam atau homogenous.
Hakikatnya agak berbeza kerana warga pertama negara ini diwakili kaum pelbagai budaya, bahasa, gara hidup dan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Aunty Munya Andrews ialah warga emas dari kawasan Bardi Country di daerah Kimberley region di Western Australia.
Saranan beliau, untuk mendekati dan mendalami kepelbagaian masyarakat orang asli, langkah pertama ialah merujuk kepada peta penduduk asal negara ini (I).
“Sila rujuk kepada peta ini yang menunjuk kewujudan lebih 500 kaum orang asli, setiap satu dengan bahasa tersendiri atau bahasa yang turut dituturi oleh beberapa kaum warga asli di beberapa lokasi berasingan."
Carla Rogers (kiri) and Aunty Munya Andrews (kanan), Evolve Communities Credit: Evolve Communities
“Dengan hanya melihat seni lukisan orang asli, saya boleh tentukan pelukis terbabit berasal dari daerah mana. Ramai orang kaitkan lukisan titik atau dot painting sebagai seni orang asli namun kaedah lukisan ini hanya dipraktikkan oleh satu kaum asli sahaja."
“Jika anda lihat kaum saya, iaitu kaum Bardi. kami ialah orang air-masin dan seni kami sama seperti seni orang kepulauan di seluruh dunia yang mengguna bentuk geometrik dalam lukisan kami. Bentuk geometrik ini melambangkan ombak laut. kami tidak lansung mengguna bentuk titik atau dot painting.
Aunty Munya ialah seorang penulis, peguambela dan pengasas pertubuhan Evolve Communities.
Tegas beliau, masyarakat umum perlu menukar pandangan luput yang melonggokkan kaum orang asli sebagai satu masyarakat homogenous, seolah-olah satu saiz muat semua.
Sementara itu, Carla Rogers ialah penyokong sekutu kaum warga pertama dan sering bekerjasama dengan Aunty Munya untuk memperjuangkan nasib kaum orang asli negara ini.
Menurut Rogers, pemahaman terhadap kepelbagaian kaum orang asli akan membantu masyrakat umum memahami kenapa masih wujud jurang perbezaan dalam pelbagai bidang di antara warga pertama dengan masyarakat umum di negara ini.
Jelas beliau, “Setelah Australia dijajah dan penjajahan ini masih berterusan, pihak penjajah tidak lansung memahami akan kewujudan pelbagai kaum orang asli di negara ini. Kegagalan menyedari kepelbagaian inilah yang menjadi punca masalah di kalangan warga Aboriginal dan orang Kepulauan Selat Torres yang wujud sekarang ini."
Kaum orang asli Australia bukanlah satu kumpulan seragam atau homogenous. - Belinda Howell/Getty Source: Moment RF / Belinda Howell/Getty Images
Australia sememangnya sebuah negara pelbagai budaya sejak zaman silam lagi
Aunty Munya menegaskan bahawa kaum orang asli boleh dianggap sebagai pakar dalam isu multibudaya.
Aunty Munya menerangkan, “Kaum saya sejak turun temurun mengamalkan konsep multibudaya. kami berinteraksi dengan kaum Aboriginal yang lain serta mempelajari bahasa mereka yang berbeza."
Manakala Dr Mariko Smith ialah dari suku kaum Yuin yang menetap di daerah persisiran pantai di New South Wales. Ibu beliau pula berasal dari Kokura di Kyushu, Jepun.
Beliau ialah seorang kurator muzium, ahli sosiologi dan sejarawan.
Menurut Dr Mariko, beliau menghadapi pelbagai cabaran terhadap identiti beliau ketika membesar kerana masyarakat sekeliling tidak memahami bahawa kaum orang asli tidak semuanya sama.
"Ramai menganggap saya berasal dari utara Australia di mana terdapat industri pengeluaran mutiara yang dikendalikan oleh orang Jepun."
"Sebenarnya, bapa saya bertemu ibu saya di kedai kopi di Kyushu ketika beliau menjelajah seluruh Jepun. Mereka berkahwin di Jepun dan pulang ke Australia untuk menetap."
Ketika membesar, Dr Mariko sering diejek akibat keturunan Asia beliau, namun komen negatif itu menjadi lebih kesat dan buruk setelah keturunan orang asli beliau turut terdedah.
Dr Mariko Smith Credit: Anna Kucera Credit: Anna Kucera/Anna Kucera
Tegas beliau, rakyat Australia perlu mengakui dan menerima perbezaan yang wujud di kalangan kaum orang asli jika mereka ingini kewujudan masyarakat yang benar-benar inklusif.
Dalam pada itu, Carla Rogers mengingatkan semua bahawa perselisihan fahaman sering berlaku apabila sesuatu pihak kurang memahami keadaan sebenarnya mengenai pihak yang lain.
Kata beliau, inilah yang sering berlaku di antara masyrakat umum dengan kaum orang asli di negara ini.
Tiga belas ahli kaum Aboriginal dan orang Kepulauan Selat Torres dari seluruh Australia mengambil bahagian dalam pelancaran initiatif Mob in Fashion. Credit: Thirteen Aboriginal and Torres Strait Islander people from across Australia are taking part in the inaugural Mob in Fashion initiative.
Bagaimana untuk mendalami kepelbagaian budaya masyarakat orang asli negara ini?
Buat permulaan rujuk kepada peta kawasan anda.
Cuba ketahui daerah yang didiami dan cuba memahami siapakah sebenarnya pemilik asal kawasan iaitu siapakah suku kaum pertama yang menetap di daerah terbabit.
Kemudian cuba mengenali sukuk kaum terbabit dan mendalami budaya mereka dengan lebih mendalam.
Ibaratkan anda merujuk kepada peta Eropah di mana wujud pelbagai bangsa dan budaya, walaupun pada dasarnya, semua penduduk Eropah merupakan orang kulit putih.
Jelas Carla Rogers, jika anda merentasi lebih dua jam di negara ini, umpamanya dari Sydney, maka cuba memahami bahawa anda sebenarnya merentasi negara kaum orang asli yang berbeza.
Jika anda ingin maklumat yang lebih lanjut selain mengkaji peta, Aunty Munya sarankan supaya anda menghubungi majlis tanah Aboriginal Land Council kerana mereka mampu menerangkan sejarah ketuanan warga pertama di kawasan anda dengan lebih mendalam.
Aunty Munya turut memperingatkan masyarakat umum supaya tidak mudah tewas.
Sekiranya sesuatu perkara itu pada dasarnya terlalu rumit untuk difahami, jangan putus asa kerana manfaatnya berbaloi.
Pucuk pangkalnya, masyarakat sekeliling perlu ambil initiatif untuk menimba ilmu demi mendalami dan mengenali ketuanan tanah yang didiami mereka. Tanah yang sebenarnya diwarisi oleh warga pertama negara ini.
Dan warga pertama ini bukanlah terhad kepada satu kaum sahaja sebaliknya terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, keturunan, talian kekeluargaan, kemasyarakatan dan budaya.