Rakyat Australia berhak menunjuk perasaan namun hak ini khususnya tidak terkandung dalam perlembagaan negara ini.
Luke McNamara ialah Professor di Fakulti Undang-Undang di Universiti of NSW.
Menurut beliau, warga Australia berhak berbincang dan berkomunikasi tentang isu berkaitan politik.
"Hak untuk berhimpun secara aman terkandung dalam Akta Hak Asasi Manusia yang wujud di negeri Victoria, wilayah persekutuan The ACT dan Queensland," jelas Professor McNamara.
Tambah beliau, "Namun, pada keseluruhannya, tiada peruntukan yang wujud menyatakan hak untuk mengadakan tunjuk perasaan di bawah perlembagaan negara ini."
Perundangan berkaitan tunjuk perasaan berbeza mengikut setiap negeri dan wiliyah di negara ini.
Umpamanya, di Queensland dan Western Australia, aktiviti perlombongan sering mengundang bantahan dari pencinta alam dan negeri terbabit mempunyai undang-undang anti-demonstrasi yang lebih ketat .
Sesiapa saja berhak mengadakan demonstrasi namun penunjuk perasaan menghadapi risiko dakwaan sekiranya tingkah laku mereka ketika menunjuk perasaan dianggap melampaui batas.
TOPSHOT - Penunjuk perasaan berarak di tengah bandar Sydney membantah polisi bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyekat kemasukan warga asing ke Amerika. 4 February, 2017. Source: AFP / SAEED KHAN/AFP via Getty Images
Tatatertib menunjuk perasaan
Apa yang dibawa bersama ketika mengambil bahagian dalam sesuatu demonstrasi memberi kesan terhadap status anda sebagai penunjuk perasan.
Nikita White dari pertubuhan Amnesty International menyarankan supaya penunjuk perasaan tidak memiliki sesuatu yang mungkin dianggap oleh pihak polis sebagai melanggar undang-undang.
Menurut beliau, "Umpamanya, pisau dan suar atau flares pastinya akan dirampas oleh pihak polis sekiranya bahan tersebut dijumpai dan pemiliknya mungkin dihalang mengambil bahagian."
Kegangguan rutin orang awam ketika tunjuk perasaan
Namun, menurut Professor McNamara sebilangan besar warga Australia sedia menerima situasi sebegini demi mempertahankan hak rakyat untuk mengadakan demonstrasi demi menyuarakan bantahan dan pandangan mereka.
Rutin seharian orang awam mungkin terganggu akibat sesuatu demonstrasi namun sebilangan besar rakyat Australia menerima hakikat ini demi mempertahankan hak asasi untuk menyuarakan pandangan.Professor Luke McNamara, Fakulti Perundangan UNSW
Di Australia, mengadakan demonstrasi di lokasi-lokasi kritikal seperti pelabuhan dan jalan-jalan utama atau di kawasan pembalakan yang mampu menghalang atau mengganggu pekerjaan orang lain mungkin mengundang pendakwaan di bawah peruntukan perundangan anti-protes.
Isu ini membelah bagi pandangan rakyat Australia.
MELBOURNE, AUSTRALIA - AUGUST 21: Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk "Kebebasan" di atas perhentian tram membanta perintah berkurung akibat wabak COVID19 pada 21 August, 2021 di Melbourne, Australia. Credit: Getty Images
Menurut beliau, penunjuk perasaan yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun.
Tambah Dr Moulds, "Antara kesemua negeri dan wilayah di negara ini, South Australia mempunyai peruntukan perundangan paling ketat terhadap penunjuk perasaan yang boleh dikenakan hukuman penjara 3-bulan sekiranya didapati bersalah mengganggu ketenteraman di kawasan umum."
Selain itu, penunjuk perasaan juga mungkin didakwa memasuki kawasan larangan, mengancam, menggunakan kata-kata kesat dan merosakkan harta benda.
Namun, mengikut Nikita White dari Amnesty International, hanya mereka yang bertindak keterlaluan sahaja yang lazimnya ditahan.
Memperkukuhkan undang-undang
Pindaan kepada undang-undang anti-protes sejak beberapa tahun lalu telah mengubah pandangan rakyat Australia terhadap tunjuk perasaan.
Menurut Dr Moulds, Pusat Hak Asasi Manusia Australia mendapati sejumlah 34 Akta membabitkan tunjuk perasaan telah dibentang di Parlimen bertujuan mengubah perundangan berkaitan tunjuk perasaan sejak 20 tahun lalu.
Dan dari jumlah itu, 26 pindaan telah diluluskan oleh kabinet.
Memohon kebenaran
Jika anda merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan, pastikan anda perolehi kebenaran dari pihak berkuasa terlebih dahulu.
Ini termasuk menghubungi pihak polis atau majlis tempatan anda untuk mendapat kebenaran.
Menurut Professor McNamara, "Lazimnya, sebahagian besar permohonan untuk mengadakan tunjuk perasaan yang dibuat menerima kelulusan."
SYDNEY, AUSTRALIA - MAY 06: Aktivis berarak di tengah bandar ketika tunjuk perasaan membabitkan murid sekolah bergelar 'School Strike 4 Climate' pada 06 Mei, 2022 di Sydney, Australia. Credit: Lisa Maree Williams/Getty Images
Apakah yang boleh dilakukan sekiranya anda ditahan oleh pihak polis?
Sekiranya anda ditahan ketika mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan, pusat bantuan perundangan komuniti mampu membantu anda.
Sebilangan besar penunjuk perasaan yang ditahan ketika mengadakan demonstrasi lazimnya hanya dikenakan denda.
Menurut Dr Moulds, "Jumlah denda tidak melebihi beberapa ratusan dolar sahaja dan jarang sekali peserta demonstrasi diberi hukuman penjara."
Rakyat Australia bernasib baik kerana pihak polis dan pendakwa serta hakim di negara ini masih lagi menghargai kebebasan untuk menyuarakan bantahan. Justeru, denda yang dikenakan lazimnya tidaklah begitu serius.Dr Sarah Moulds, Professor Madya, Fakulti Perundangan, University of South Australia
Ketahui hak anda
Untuk maklumat lanjut mengenai hak mengadakan demonstrasi serta hak asasi penunjuk perasaan, sila hubungi cawangan pusat Hak Asasi Manusia, Amnesty International atau Majlis Kebebasan Sivil berdekatan anda.