Cendawan Liar: Bagaimana Mengelak Memetik Kulat Beracun

Australia Explained -  Cendawan Fly Agaric

Cendawan merah dan putih jenis Fly Agaric Amanita Muscari Source: Moment RF / Rhisang Alfarid/Getty Images

Mencari cendawan liar ialah suatu aktiviti yang popular di seluruh dunia, namun sebilangan besar pendatang baru ke Australia tidak menyedari akan risiko memetik tumbuhan liar di negara ini. Sesetengah cendawan beracun boleh menyebabkan kematian jika dimakan, sepertimana yang berlaku di Victoria tahun lalu yang melihat tiga orang mati setelah disajikan cendawan beracun. SBS Bahasa Melayu mengupas aktiviti memetik cendawan liar serta petua memilih cendawan yang selamat untuk dimakan


Tajuk Utama
  • Australia mempunyai lebih-kurang suku juta spesies cendawan yang unik.
  • Mengenalpasti cendawan liar yang selamat dimakan memerlukan kepakaran dan sikap berwaspada.
  • Cendawan jenis Fatal Death Cap amat sukar dikenalpasti kerana ia hamper serupa dengan cendawan liar lain yang boleh dimakan.
Mencari cendawan liar sememangnya mengasyikkan dan bagi sesetengah penggemar, mencari cendawan liar dianggap suatu aktiviti kekeluargaan yang dipupuk sejak kecil lagi.

Antara golongan ini ialah, Kristy Barbara, dari Sydney yang semasa kecil, sering mengikuti nenek beliau memetik cendawan liar berdekatan subbandar Altona di Victoria.

Menurut Kristy, " Nenek saya berhijrah ke Australia dari Malta pada lewat 1940-an dan mencari cendawan liar adalah antara aktiviti kegemaran beliau sejurus selepas menetap di negara ini."

Sementara itu, Diego Bonetto, menganjurkan bengkel memahami makanan liar bergelar Wild Food, bertujuan mengajar bagaimana untuk mencari makanan di kawasan hutan pine di New South Wales, termasuk memilih cendawan liar yang selamat untuk dimakan.

Kata beliau, "Memetik cendawan liar ialah akiviti biasa yang mampu bertukar menjadi bahaya sekiranya mereka yang melalukan aktiviti itu tidak mempunyai pemahaman antara cendawan yang selamat dimakan dengan jenis yang amat toksik."

Australia Explained - Cendawan di kawasan Tarkine Wilderness, Tasmania
Seorang ahli mikologi meneliti kulat jenis Laccaria di hutan temperat. Credit: Jason Edwards/Getty Images
"Cendawan yang boleh dimakan tumbuh di seluruh Australia dan popularitinya berbeza di kalangan golongan pendatang. Umpamanya, cendawan pine dari hutan pokok pine digemari oleh golongan pendatang dari Poland, Rusia dan Itali, manakala cendawan padang digemari oleh golongan peladang di negara ini", jelas Bonetto.

Professor Brett Summerell ialah Pengarah Sains, Pendidikan dan Pemuliharaan di Institut Sains Botani di Taman Botani Sydney.

Kata beliau, mengenalpasti spesies cendawan yang selamat dimakan memerlukan kepakaran dan sikap berwaspada.

"Risiko memetik cendawan liar di Australia ialah kerana sesetengah cendawan di negara ini berbeza dengan cendawan di negara lain. Sebilangan spesies begitu toksik sekali dan mampu meracuni pemakannya", kata Professor Summerell.

Saranan beliau, jika anda meragui sama ada cendawan yang ingin dipetik boleh dimakan atau tidak, lebih baik elak dari memetiknya.

Cendawan Topi Maut atau Death Cap Mushroom

Professor Summerell juga seorang pakar kulat yang setakat ini berjaya mengenalpasti 120 spesies baru tumbuhan kulat.

Penulisan beliau mengenai tumbuhan kulat kini diterbitkan dalam lebih150 buah artikel dan buku.

Menurut beliau, sebilangan warga Australia mati akibat keracunan setelah memakan cendawan toksik.

"Jika anda termakan cendawan topi maut, anda berisiko mengalami kerosakan organ hati yang boleh membawa maut", tambah Professor Summerell.

Australia Explained - Tanda amaran memaklumkan kewujudan cendawan topi maut atau death cap mushroom di kawasan terbabit.
Tanda amaran memaklumkan kewujudan cendawan Topi Maut atau Death Cap mushroom di kawasan terbabit. Source: Moment RF / Simon McGill/Getty Images
Di Australia, kini wujud lebih suku juta spesies cendawan yang unik.

Justeru, tegas Professor Summerell, keupayaan mengenalpasti spesies cendawan yang selamat dimakan memerlukan kepakaran yang tinggi.

'Sukar Untuk diKenalpasti'

Cendawan topi maut atau death cap mushroom turut dikenali dengan nama saintifiknya, Amanita Phalloides.

Spesies cendawan ini tumbuh di Tasmania, Victoria, South Australia dan di wilayah Australian Capital Territory.

Menurut Professor Summerell, “Ada beberapa jenis cendawan liar yang serupa dengan cendawan oyster, khususnya cendawan hantu atau ghost mushroom yang boleh menyebabkan keloyaan, cirit-birit dan kesakitan perut yang teramat sangat."

Manakala cendawan Cortinarius Eartoxicus, yang tumbuh secara liar di Tasmania, boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang seseorang yang termakannya.

Jenis cendawan yang sama turut tumbuh di Victoria, namun kewujudannya belum lagi disahkan secara rasmi.

Diego Bonetto, yang juga selaku Pencari Makanan Liar Berdaftar di Korporasi Kehutanan NSW memberi amaran bahawa mengenalpasti perbezaan ciri-ciri cendawan toksik dengan cendawan yang selamat dimakan kadang-kala amat sukar serta mengelirukan di antara specimen cendawan muda dengan yang sudah matang.

Saranan beliau, pastikan anda diiringi seorang pakar sekiranya ingin mencari cendawan liar di hutan.
Cendawan liar - Pixabay
Cendawan liar - Pixabay Source: Pixabay
Musim Cendawan

Peminat cendawan liar turut disaran mengetahui musim tumbuhan cendawan di kawasan mereka.

Diego Bonetto berkata musim sejuk dan hujan adalah musim terbaik untuk pembiakan cendawan di hutan liar.

"Musim cendawan bermula pada pertengahan Mac sehingga pertengahan Jun", jelas Bonetto.

Namun musim cendawan bermula lebih awal di Victoria, manakala ianya lewat sedikit di New South Wales dan South Australia.

Perundangan Berbeza Bagi Setiap Negeri Dan Wilayah

Penggemar cendawan liar perlu ketahui terlebih dahulu perundangan berkaitan pemetikan cendawan di kawasan masing-masing.

Diego Bonetto berkata ini kerana setiap negeri dan wilayah di Australia mempunyai undang-undang tersendiri.

"Umpamanya, New South Wales melarang pemetikan cendawan pine dari hutan pine di negeri itu. Namun, negeri-negeri lain tidak mengenakan larangan tersebut", jelas Bonetto.

Tambah beliau, "Di Western Australia, orang awam tidak dibenarkan memetik cendawan liar, tak kira sama ada ianya spesies tempatan atau eksotik. South Australia juga mengenakan larangan yang sama , manakala di Victoria, pemetik tidak digalakkan berbuat demikian."
Australia Explained - Cendawan di Taman Hutan Simpan Yellingbo, Victoria
Gilled Fungi, Amanita Ochrophylla, on the forest floor. Credit: Jason Edwards/Getty Images
Di , pemetik dikehendaki mendapatkan permit untuk memetik cendawan liar di taman negara, hutan simpan dan hutan liar. Permit mengarah pemetik cendawan memaklumkan kedatangan mereka kepada renjer hutan sebelum memulakan aktiviti memetik cendawan.

Namun, bagaimana pula dengan cendawan liar yang tumbuh di tanah yang dimiliki oleh seseorang individu?

Jelas Diego Bonetto, "Memetik dan mengumpul cendawan liar di tanah milik peribadi tidak melanggari undang-undang."


Jika anda khuatir kemungkinan cendawan liar yang dimakan beracun, sila hubungi  di talian 131 126.

Jika anda mengalami kesakitan keracunan akibat termakan cendawan beracun, sila dial 000.

Share