Explainer

Apakah Hakikat Hari Anzac Di Kalangan Golongan Migran Australia?

Bagi sebilangan besar golongan migran di negara ini, sambutan Hari Anzac memaparkan imej askar keturunan Anglo-Saxon dengan topi lebar seakan akubra bertempur di medan perjuangan Gallipoli di selatan negara Turki semasa Perang Dunia Pertama. Namun, sejak pertempuran Gallipoli pada tahun 1915, imej tradisional ini serta penghayatan Hari Anzac di kalangan golongan pendatang baru ke negara ini kian berubah.

ANZAC Day

Perajurit Australia menaiki kuda di persisiran pantai mengibar bendera Australia sempena sambutan Hari Anzac. Source: AAP

Tajuk Utama
  • Pada mulanya, perarakan Hari Anzac khusus untuk perwira yang bertempur di medan perjuangan Gallipoli sahaja. namun kini, perarakan tahunan ini membabitkan semua anggota perajurit Australia disertai anak-anak dan cucu-cicit mereka yang berbilang kaum.
  • Sebilangan besar perajurit Australia terdiri daripada golongan migran.
  • Kini golongan migran turut menghayati serta menghormati perwira yang menggadai nyawa demi mempertahankan keamanan sejagat.
Setiap tahun, warga Australia memperingati pengorbanan yang dibuat oleh perwira Australia dan New Zealand ketika Perang Dunia Pertama, khususnya mereka yang bertempur dan terkorban di medan peperangan Gallipoli di selatan negara Turki.

Hari peringatan ini digelar Hari Anzac dan disambut setiap tahun pada 25 April.

Pada mulanya, Hari Anzac hanya disertai perajurit yang terbabit dalam peperangan di Gallipoli, terdiri dari anggota pasukan tentera, the Australian and New Zealand Army Corps, justeru singktannya, ANZAC.

Namun kini, lebih se-abad sejak peperangan di Gallipoli, Hari Anzac kini turut disambut oleh semua anggota tentera Australia serta kaum keluarga perwira yang terkorban.

Malahan, pada tahun 2006, persatuan bekas perajurit atau Returned Services League, RSL, cawangan Victoria, bersetuju untuk membenarkan kaum keluarga anggota perwira negara Turki, yang menentang tentera Australia ketika pertempuran Gallipoli, menyertai perarakan tahunan ini.

Penyertaan kaum keluarga perwira negara Turki kini berterusan.

Embed:

Menurut pusat tugu peringatan peperangan, , dari sejumlah 420,000 warga Australia yang pergi berjuang demi bangsa dan negara, sebilangan terdiri daripada mereka yang berketurunan asing, termasuk warga asli Australia, bangsa Asia, British, Yunani atau Greek dan mereka yang berasal dari Eropah Utara.

Lebih kurang 200 warga Cina turut berkhidmat sebagai anggota tentera Australia dalam Perang Dunia Pertama.

Selain itu, perajurit berketurunan Sikh juga turut berjuang mempertahankan puak sekutu Allied dalam Peperangan Dunia Pertama dan Kedua.

Namun, tidak semua bekas perajurit yang berjuang untuk negara merasai sumbangan mereka dihargai. Ketika perang Vietnam, sentimen anti-peperangan sememangnya tinggi dan sebilangan anggota tentera Australia yang menyertai anggota marin Amerika Syarikat melawan pasukan komunis Vietnam Utara merasai sumbangan mereka tidak dihargai.

Namun, apabila Bob Hawke menjadi Perdana Menteri Australia awal dekad 80-an, beliau mengiktiraf secara rasmi sumbangan anggota veteran Vietnam dengan mengadakan sambutan rasmi kepulangan mereka pada 18 Ogos, 1987, yang kini ditetapkan sebagai Hari Anggota Veteran Vietnam atau Vietnam Veterans Day.

Untuk maklumat lanjut mengenai sejarah Anzac, sila layari laman web rasmi dan portal rasmi kerajaan Australia berkaitan Anzac di the .

Share
Published 25 April 2024 2:53pm
By Zaini Ahmad
Source: SBS

Share this with family and friends